Tuesday, December 1, 2009

TEKS UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2010 DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PADA 30 NOVEMBER 2009

TEKS UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG MENGENAI

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN

DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2010

Belanjawan CAT Kerajaan Berjiwa Rakyat

Menjamin Masa Depan Kita
Y.B. Dato' Speaker,
BAJET 2010


Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bernama "Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2010 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan tahun itu" dibaca kali kedua.



PENDAHULUAN
Y.B. Dato' Speaker,
1. Sempena dengan persidangan Dewan yang mulia ini dan sebelum saya membentangkan Bajet Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2010, saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri di atas kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan kepada saya dan Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dengan jayanya. Semoga Tuhan sentiasa meredhakan T.Y.T. dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dalam keadaan sihat dan selamat menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat. Di kesempatan ini juga saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peringkat anggota perkhidmatan awam yang telah memberi sokongan padu dan kerjasama dalam kelancaran dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri.
2. Pembentangan bajet tahun 2010 merupakan yang kedua di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Pada bajet 2009 yang pertama, penekanan diberikan kepada 3 teras utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang-peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor). Bajet tahun 2010 ini akan meneruskan tiga teras pembangunan ekonomi ini dengan memberikan keutamaan kepada pelaburan dalam sektor pendidikan demi menjamin masa depan anak-anak kita.
3. Kerajaan Negeri ingin mendirikan suatu Hab Pendidikan Cemerlang di Pondok Upeh, Balik Pulau dan memperuntukkan RM121 juta untuk kos pengambilan tanah. Ini adalah bagi menjaminkan masa depan generasi muda agar kelebihan dan kekuatan pendidikan dan ilmu pengetahuan Pulau Pinang sentiasa terjamin demi berdaya saing dalam pentas antarabangsa. Tambahan pula, Kerajaan Negeri mahu melihat Penang Skills Development Centre (PSDC) terus dimajukan agar mengekalkan kedudukan sebagai institusi latihan semula yang paling unggul di Malaysia. Sebanyak RM5 juta diperlukan untuk tujuan ini.
4. Kerajaan Negeri hanya boleh menghadapi cabaran globalisasi sekiranya kita jelas tentang asas pembangunan yang menjaminkan kejayaan transformasi ekonomi kepada negeri bertaraf antarabangsa dan ekonomi berpendapatan tinggi. Bagi merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti 11 asas kejayaan negara maju yang amat penting dan ianya adalah:
i. Perkhidmatan awam yang berkebolehan, bersih dan cekap;
ii. Komitmen ke atas pertumbuhan ekonomi;
iii. Kerjasama rapat di antara sektor awam dan swasta;
iv. Menubuhkan kerajaan berjiwa rakyat yang berlandaskan konsep 3P, Perkasakan Rakyat dengan pendidikan, kepakaran dan ilmu pengetahuan, Perkuasakan Rakyat dengan hak dan kebebasan yang memberikan peluang saksama mengecapi kejayaan dengan penuh bermaruah; dan Perkayakan Rakyat supaya dapat berkongsi kemakmuran ekonomi yang dihasilkan
v. Pembentukan modal insan yang cemerlang, berdaya kreatif dan inovatif;
vi. Menegakkan keluhuran undang-undang (rule of law) demi menjamin keadilan, keamanan daan ketenteraman rakyat;
vii. Mengamalkan prinsip urus tadbir CAT (cekap, akauntable dan telus) berteraskan kepimpinan berintegriti.
viii. Penjenamaan Pulau Pinang yang dikenali melalui kualiti, reliabiliti, kemapanan keselamatan dan integriti (quality, reliability, sustainability safety & integrity).
ix. Pembangunan yang seimbang dan mapan dapat membantu mencapai status negeri hijau melalui pelaksanaan serta memberi fokus kepada Green Building Index, kempen mengurangkan penggunaan beg plastik dan penggalakkan teknologi dan industri hijau seperti mengeluarkan kotak makanan “bio-degradable” yang begitu organik sehingga boleh dimakan.
x. Perpaduan yang merangkumi perkongsian masyarakat yang memberi ruang kepada penyertaan demokrasi, menghormati kepelbagaian budaya dan hak-hak individu, peluang yang saksama serta menegah diskriminasi.
xi. Mewujudkan masyarakat madani menerusi pembentukan nilai-nilai kesalingan (reciprocity), bermaruah dan kepercayaan melalui kursus siviks dan komunikasi.
5. Sejak pengambilan alih pentadbiran Negeri Pulau Pinang, banyak kejayaan yang membanggakan telah dicapai oleh Pakatan Rakyat. Salah satu penanda aras adalah pengiktirafan oleh badan antarabangsa seperti persetujuan UNESCO untuk terus kekalkan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia pada Jun 2009 di Sepanyol selepas jaminan membetulkan kesilapan Kerajaan Negeri yang lepas dengan menghadkan ketinggian bangunan ke 5 tingkat. Yang lebih menarik ialah pengiktirafan bukan sahaja oleh Lapuran Ketua Audit Negara 2008 tetapi juga daripada badan anti-rasuah terulung, Transparency International.
6. Laporan Ketua Audit Negara 2008 memuji dasar penjimatan Kerajaan Negeri dan keutamaan yang diberikan kepada perbelanjaan untuk rakyat atau people-centric. Ini membolehkan perbelanjaan Kerajaan Negeri keseluruhannya berkurangan RM35.41 juta ataupun 11.1% daripada anggaran yang diluluskan. Yang lebih menyerlah ialah peningkatan bagi lebihan pendapatan sejumlah RM44.38 juta daripada RM43.61 juta pada 2007 kepada RM87.99 juta pada 2008 kenaikan 102%!. Aset Kerajaan Negeri pun telah naik 21.1% atau daripada RM848 juta kepada RM1,026 juta kali pertama aset negeri mencecah tanda aras RM1 bilion.
7. Sejak Transparency International mula mengeluarkan laporan tahunannya, Malaysia tidak pernah dipuji, sebaliknya kerap dikritik sahaja. Tahun ini keadaan dikritik tiada berbeza apabila kedudukan Malaysia tahun ini merosot 9 tangga daripada 47 ke 56 dengan markah gagal 4.5 mata berbanding dengan 5.1 markah pada tahun 2008. Sungguhpun begitu, buat pertama kalinya Pulau Pinang dipuji kerana urus tadbir CAT yang memperkenalkan tender terbuka dan memerangi rasuah dengan tegas di mana pegawai bermasalah dipindah keluar, dipaksa meletakkan jawatan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Rakyat Negeri Pulau Pinang harus berasa bangga kerana inilah kali pertama sebuah Kerajaan Negeri atau pusat di Malaysia dipuji oleh Transparency International.
8. Pengiktirafan oleh Transparency International dan penganugerahan Hadiah Kepujian UNESCO Asia-Pacific bagi Rumah Suffolk antara lain merupakan bibit permulaan kepada status kejayaan tersebut. Usaha-usaha yang lebih serius akan terus digiatkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan penglibatan semua pihak termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan dan rakyat jelata Pulau Pinang supaya hasrat untuk memajukan Negeri Pulau Pinang ke peringkat taraf dunia sama ada dari segi perkhidmatan, pekerjaan dan produk akan terus menjadi kenyataan.
9. Betapa pentingnya memerangi rasuah boleh dilihat dalam skandal penyelewengan tanah Tang Hak Ju sebanyak RM40 juta. Pembayaran RM14.7 juta kepada Tang Hak Ju yang mungkin disusuli dengan RM25 juta lagi amat pedih dan menyakitkan hati lebih-lebih lagi bila ia melibatkan wang awam. Ini adalah kerana wang yang begitu susah payah dimiliki rakyat ditipu oleh pihak dalam kerajaan lama dan orang luar di mana kedua-duanya boleh dipanggil lanun dan penyamun. Lebih teruk lagi ialah pemimpin lama takut dan enggan bekerjasama mencari kebenaran dalam skandal ini. Manakala Tang Hak Ju pula saman malu Y.B. Timbalan Ketua Menteri II kerana beliau menjalankan tugas menyiasat skandal tanah ini yang merugikan rakyat. Kerajaan Negeri akan mempertahankan Y.B. Timbalan Ketua Menteri II daripada saman malu yang tidak lain adalah tindakan pihak "perompak teriak orang lain perompak". Kerugian RM40 juta yang terpaksa dibayar oleh kerajaan hanya menambahkan defisit Belanjawan 2010.
10. Kerajaan Negeri sentiasa dipandu oleh keazaman mendirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika yang bersatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, 5K: kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketaqwaan kepada Tuhan.


A. USAHA MENINGKATKAN DAYA SAING EKONOMI
i. Menghadkan Kemerosotan Ekonomi Ke Pertumbuhan KDNK Benar -1.5% Ke -2%
11. Kemelesetan ekonomi global sehingga kini telah memberi kesan ketara ke atas kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia. Adalah dianggarkan pertumbuhan ekonomi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar Malaysia pada kadar -3% untuk tahun 2009. Bagi Negeri Pulau Pinang, anggaran KDNK tahun 2009 dijangka menyusut sehingga -3% berbanding 3.3% pada tahun 2008. Namun begitu, daya saing ekonomi negeri ini akan terus didorong oleh sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan dan Kerajaan Negeri mengharapkan kemerosotan ini boleh dikurangkan kepada -1.5% ke -2% pada tahun ini. Adalah diharapkan KDNK benar Pulau Pinang pada tahun hadapan boleh mencecah 3%.
12. Krisis ekonomi yang melanda dunia masih meninggalkan impak ke atas ekonomi dunia secara keseluruhannya. Negeri Pulau Pinang tidak terkecuali menerima kesan daripada keadaan ini. Mengikut Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), bagi tahun 2008 Pulau Pinang menerima 151 buah projek dengan pelaburan berjumlah RM10.156 bilion. Peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan ketika itu adalah sebanyak 22,215 pekerjaan. Walau bagaimanapun pada tahun 2009 sejumlah RM1.66 bilion pelaburan telah diluluskan untuk Negeri Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2009. Daripada jumlah ini, RM466 juta adalah pelaburan domestik dan baki sebanyak RM1.2 bilion merupakan pelaburan asing.
13. Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) menjangkakan sektor swasta akan terus menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara manakala sektor awam sebagai pemudahcara. Dalam hal ini, kedua-dua sektor awam dan swasta mempunyai satu perhubungan yang simbiotik lagi sinergistik kerana masing-masing saling memerlukan dan komplemen di antara satu sama lain untuk wujud dan berfungsi dengan baik. Kecekapan dan kepantasan perkhidmatan awam akan menentukan kecekapan, kepantasan dan keberkesanan sektor swasta. Selain daripada itu, penekanan akan diberikan kepada Industri Kecil dan Sederhana dalam bentuk:

a. Penubuhan SME Market Advisory Resource & Training Centre (SMART Center) yang membantukan SME mencari
Akses pasaran;
Nasihat perniagaan;
Maklumat dan sumber pasaran; dan

Latihan dan pembangunan.
b. Laman Web Maklumat SME oleh investPenang untuk memberikan maklumat berguna seperti kesediaan pinjaman dan geran, seminar dan pasaran agar dapat lebih memahami industri masing-masing.

c. Meninjau kebolehan dan kemampuan SME yang akan dimuatkan dalam laman web. Satu direktori akan dirangka untuk menjadi penjodoh atau pemudahcara di antara SME dan pelanggan mereka.

d. investPenang akan menjalankan penyelidikan rantai bekalan atau supply chain research untuk industri yang dipromosikan demi mengenalpasti peluang dan ruang yang wujud.

ii. Menggerakkan Dan Meningkatkan Pelaburan
14. Bagi menjana pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang dan memastikan Pulau Pinang masih kompetitif untuk menarik pelaburan, Kerajaan Negeri telah merancang dan melaksanakan beberapa strategi seperti berikut:

i. Menawarkan skim harga tanah perindustrian Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang kompetitif kepada pelabur asing yang ingin melabur dalam projek-projek yang strategik;
ii. Memberi fleksibiliti dalam skim pembayaran bagi tanah perindustrian PDC untuk membantu industri tempatan yang sedang menghadapi masalah dalam pemasaran dan operasi perniagaan mereka;
iii. Mengadakan hubungan yang rapat dengan pihak pelabur-pelabur baru menerusi Pasukan Pelaburan Petugas Khas khususnya untuk membolehkan kerajaan membantu menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan cadangan pembinaan industri seperti yang berjaya dilaksanakan ke atas Ibedeen, HoneyWell dan lain-lain;

iv. Memudahkan pelabur-pelabur untuk pelaksanaan pembinaan industri di kawasan perindustrian PDC yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan "bina dulu, luluskan kemudian" pelan kebenaran merancang dan bangunan. Ini akan berkuatkuasa sebaik sahaja permohonan dibentangkan kepada pihak berkuasa tempatan;

v. Menjadi pemudahcara untuk mendapatkan pakej insentif istimewa seperti Matching Grant, Soft Loan dan Industrial Building Subsidy daripada MIDA untuk terus menggalakkan pelaburan asing; dan
vi. Membolehkan pihak ketiga membeli tanah industri dan membangunkan bangunan industri.

15. Bagi memperkukuhkan lagi dasar industri dan mempromosikan pelaburan baru, Kerajaan Negeri sedang mempelbagaikan aktiviti-aktiviti promosi bagi sektor-sektor baru yang berpotensi. Kerajaan Negeri telah mengenalpasti 4 sektor utama yang menjadi pemangkin kepada rancangan penggalakkan pelaburan iaitu light emitting diode (LED), bioteknologi, avionik dan pelancongan perubatan (medical tourism). Di samping itu, tumpuan juga diberikan kepada sektor-sektor lain seperti industri halal, perkongsian perkhidmatan (shared services), multimedia kreatif dan perisian perkomputeran. Usaha Kerajaan Negeri membawa hasil apabila beberapa syarikat berteknologi tinggi dan memiliki cutting-edge electronic technology akan bertapak dan mengumumkan pelaburan di Pulau Pinang dalam satu dua bulan lagi. Ini adalah di antara teknologi tercanggih yang direka cipta dan dimiliki Pulau Pinang termasuk crypto-technology untuk telefon bimbit dan teknologi hijau.

16. Dalam memantapkan industri halal Pulau Pinang ke peringkat global, Kerajaan Negeri telah mengetengahkan satu konsep holistik merangkumi seluruh negeri Pulau Pinang sebagai lokasi utama hab halal. Pembangunan hab halal ini adalah tertumpu kepada sembilan kluster utama dalam rantaian nilai halal iaitu industri pembuatan, asas tani, logistik, kewangan, bio-teknologi, pelancongan, Penyelidikan & Pembangunan (R&D), Sumber Manusia dan Pemasaran. Agensi penyelaras, PIHH Development Sdn Bhd (atau juga dikenali sebagai Halal Penang) dalam setahun ini telah berjaya meletakkan Pulau Pinang dalam dunia industri halal.



17. Di antara pencapaian yang amat membanggakan pada 2009 adalah penyertaan buat kali pertama Kerajaan Negeri dalam World Halal Forum (WHF) pada 4 hingga 5 Mei 2009 dan MIHAS pada 6 hingga 10 Mei 2009 telah berjaya membuka mata banyak pihak samada tempatan mahupun luar Negara. Sembilan (9) Memorandum Persefahaman (MoU) telah berjaya ditandatangani di pameran halal

terbesar ini di antaranya Penang International Halal Hub (PIHH) Development Sdn Bhd dengan Asian Finance Bank Bhd (Qatar) dan Unicorn International Islamic Bank (Bahrain), Al-Jawhara Group of Hotels (Dubai), Al-Mataf Global (Arab Saudi), A La Turko (Australia), Hotel Seri Malaysiadan De Feringghi Hotel & Restaurant, Global Livestock Corporation Sdn Bhd, Fresh Frozen Resources Sdn Bhd dan Intan Farm (M) Sdn Bhd.



18. Apa yang membanggakan adalah kejayaan Kerajaan Negeri membantu pertumbuhan syarikat tempatan di mana mereka telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui rangkaian niaga (market linkages) dan pemadanan perniagaan yang dianjurkan. Juga membanggakan, Pelabuhan Pulau Pinang merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang telah mendapatkan piawaian

Halal berasaskan MS 1900:2005 Pengurusan Berasaskan Syariah. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan industri halal dan memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga akan berusaha untuk mempromosikan barangan tempatan halal dengan memastikan semua program Kerajaan Negeri menggunakan produk halal termasuk jamuan ringan Kerajaan.



19. Selaras dengan Bajet Persekutuan 2010, Kerajaan Negeri akan memanfaatkan peruntukan untuk memantapkan lagi sistem Pensijilan Halal dan berkerjasama dengan badan-badan berkaitan seperti JAIPP, JAKIM dan HDC dalam melengkapkan keperluan pasaran dan membina keupayaan dan pertumbuhan industri halal. Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk menarik pelaburan dan perdagangan halal bertapak di Pulau Pinang dan menjadikan

Pulau Pinang sebagai gateway utama ke pasaran halal global.

iii. Menangani Pengangguran



20. Krisis ekonomi juga menyebabkan banyak kilang terpaksa menutup operasi dan tenaga kerja diberhentikan. Sepanjang tahun 2008, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pulau Pinang melaporkan seramai 5,776 pekerja dalam sektor industri telah diberhentikan iaitu 4,911 warga tempatan dan 865 warga asing. Namun begitu, sehingga bulan Julai 2009, bilangan pekerja yang kehilangan pekerjaan telah berkurangan iaitu seramai 3,459 orang (2,596 tempatan dan 863 pekerja asing). Dalam hal ini, Pusat Kerjaya dan Latihan Negeri Pulau Pinang atau Penang CAT (Career Assistance Training) Centre yang diwujudkan telah berjaya membantu menangani isu ini, melalui penyediaan peluang latihan dan pekerjaan kepada mereka yang diberhentikan. Peluang latihan yang disediakan mensasarkan graduan, belia lepasan sekolah dan penganggur. Sehingga akhir September 2009, Pusat CAT telah menerima sebanyak 4,087 kekosongan jawatan dari pelbagai sektor dan daripada seramai 2,182 orang yang mendaftar di Pusat CAT, 1,781 orang telahpun dipadan rujuk kepada majikan yang menawarkan jawatan-jawatan kosong tersebut. Malah di jobstreet.com ada 1,713 (sehingga hari ini) kekosongan wujud di Pulau Pinang. Memang benar Negeri Pulau Pinang menghadapi masalah kekurangan pekerja dengan lebih banyak kekosongan daripada pekerja.



21. Sejak akhir-akhir ini Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa terdapat kilang-kilang yang telah menerima tempahan pengeluaran yang bertambah. Oleh itu bagi memenuhi tempahan tersebut pertambahan pekerja termasuk yang telah diberhentikan amat diperlukan. Namun begitu pengisian tersebut tidak dapat dilakukan dengan kadar segera selaras dengan perkembangan tempahan. Keadaan ini membuktikan bahawa pengangguran sebenar yang melibatkan pekerja di sektor perkilangan tidak lagi berlaku di Negeri Pulau Pinang.

iv. Menggalakkan Pelancongan

22. Sektor pelancongan akan terus menjadi penyumbang kedua terpenting kepada ekonomi Pulau Pinang. Ke arah itu, Kerajaan Negeri akan memberi perhatian khusus bagi memastikan pembangunan yang menyeluruh dan terancang dengan mengambil kira faktor pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, promosi dan pemasaran secara lebih agresif dengan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam memajukan sektor ini.


23. Kerajaan Negeri mensasarkan kemasukan pelancong ke negeri ini seramai 10 juta orang menjelang tahun 2014. Dalam usaha menarik minat pelancong untuk berkunjung ke Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah melancarkan program Tahun Melawat Pulau Pinang selama 3 tahun mulai 2010 hingga 2012. Untuk itu, pada tahun 2010, peruntukan sebanyak RM3 juta akan disediakan bagi tujuan mempromosikan sektor pelancongan.


24. Dalam memastikan agenda Tahun Melawat Pulau Pinang dapat direalisasikan, Kerajaan Negeri telah mengumumkan beberapa cadangan, antaranya, penyenaraian 12 produk mesti beli, 12 tempat pelancongan menarik yang mesti dilawati dan 12 makanan terbaik yang boleh didapati di Pulau Pinang. Penambahbaikan produk sedia ada di bawah RMKe-9 akan diteruskan dan semakin rancak pada tahun ini, antaranya melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Projek Menaik Taraf Sistem Keretapi Bukit Bendera dan Projek Pembangunan Pusat Makanan Laut dan Galeri Kraf di Batu Kawan. Manakala projek-projek pelancongan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak swasta ialah:

i. Projek menaik taraf dan pembinaan hotel-hotel baru seperti Hotel Eastin, Royal Bintang, Lone Pine, E&O New Tower, Baby G Hotel, Cititel Express dan Hotel Rice Miller
ii. Cadangan pembinaan Penang International Convention Centre, pusat MICE pertama Pulau Pinang yang bertapak di PISA, Bayan Lepas;
iii. Cadangan pembangunan Auto-City Theme Park di Juru;
iv. Cadangan pembinaan pusat perubatan pakar di Jalan Zainal Abidin; dan
v. Cadangan pembangunan Eco Theme Park di Teluk Bahang.


25. Usaha promosi Kerajaan Negeri di dalam dan luar negeri memperlihatkan pembangunan pelancongan yang menggalakkan. Sungguhpun menghadapi krisis ekonomi, kebanyakan hotel di Pulau Pinang mencatatkan prestasi di antara yang paling baik di Malaysia sama ada dalam kenaikan kadar penginapan ataupun penurunan pelanggan yang paling rendah berbanding dengan Kuala Lumpur.



B. PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM

26. Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa memberi fokus untuk meningkatkan lagi sistem infrastruktur dan kemudahan awam terutama sekali sistem pengangkutan awam. Pengangkutan awam yang cekap dan efisien akan dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup rakyat. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Rapid Penang ketika ini (150 buah bas meliputi 33 laluan di 106 kawasan perumahan) masih tidak dapat memenuhi tahap kualiti pengangkutan awam di Pulau Pinang. Akan tetapi tambahan sebanyak 100 buah bas pada bulan Jun 2009 dan keseluruhan 200 buah bas pada akhir tahun 2009 diharapkan dapat menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang.


Cadangan Menambah 3 Lagi Bas CAT atau Central Area Transit Percuma di George Town


27. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah mewujudkan perkhidmatan bas percuma untuk rakyat di bahagian Pulau yang dinamakan Central Area Transit (CAT). Perkhidmatan ini yang mula beroperasi pada 23 Februari 2009 sedang berjalan lancar. Tiga (3) buah bas Rapid Penang telah memberi perkhidmatan melibatkan laluan dari Pengkalan Weld ke KOMTAR sejauh 8 kilometer (pergi balik). Perkhidmatan bas ini mendapat sambutan baik dan Kerajaan Negeri sedang berusaha menambahkan 3 buah bas lagi untuk memberikan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk Negeri Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan bandaraya serta menambahkan minat para pelancong.

Pelan Induk Pengangkutan Negeri


28. Berikutan dengan masalah sistem pengangkutan awam yang masih berlarutan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Pengangkutan Negeri atau Penang Transport Council (PTC) yang dianggotai oleh pelbagai sektor meliputi wakil Kerajaan Negeri, pakar-pakar dalam bidang pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas, wakil daripada institusi pengajian tinggi serta organisasi penyelidikan. Majlis Pengangkutan Negeri secara umumnya akan merancang, menyelaras dan menasihatkan semua isu pengangkutan dan lalu lintas bagi Negeri Pulau Pinang. Ia akan mempunyai 5 pasukan petugas iaitu Traffic Decongestion and Management, Sistem Pengangkutan Awam, Pendidikan dan Perhubungan Awam, Sistem Pengangkutan Peringkat Tempoh Pertengahan dan Pelan Induk Pengangkutan dan Kewangan.

29. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga dalam tindakan melantik sebuah syarikat perunding untuk membentuk Pelan Induk Pengangkutan Negeri. Sebuah Unit Pengurusan Lalu Lintas telah ditubuhkan untuk memberi sokongan pentadbiran kepada Majlis Pengangkutan Negeri. Melalui usaha ini adalah diharapkan isu-isu yang berkaitan dengan pengangkutan awam dan lalu lintas bukan sahaja dapat ditangani malah ianya akan membolehkan perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh mengenai sistem pengangkutan awam serta lalu lintas dapat dilaksanakan.

30. Infrastruktur pengangkutan awam seperti terminal bas, perhentian bas dan perhentian teksi terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Perkhidmatan teksi yang masih tidak menggunakan meter dan teksi haram merupakan antara masalah yang masih berlarutan di Pulau Pinang. Justeru, Kerajaan Negeri berharap penguatkuasaan yang lebih serius, jitu dan berterusan dijalankan oleh agensi dan jabatan Persekutuan yang bertanggungjawab bagi memastikan penduduk dan pelancong menikmati kemudahan pengangkutan yang selesa dan selamat.



31. Dalam usaha mempertingkatkan taraf perkhidmatan pengangkutan awam, kemudahan terminal pengangkutan baru juga telah dirancang di Penang Sentral di Butterworth melibatkan pembangunan keseluruhan seluas 30 ekar. Pembangunan fasa 1 merangkumi pembinaan terminal bas, teksi, monorail dan integrasi dengan stesyen kereta api dan juga terminal feri sedia ada yang melibatkan kawasan seluas 23 ekar, manakala baki 7 ekar akan dijadikan kawasan pembangunan fasa 2. Pembangunan ini adalah berdasarkan kepada model pembangunan MRCB terhadap KL Sentral.



32. Ketika ini tapak bagi pembangunan terminal pengangkutan tersebut telah dikosongkan di mana kemudahan pengangkutan bas sedia ada telah ditempatkan di terminal sementara yang dibina oleh MRCB dengan kos RM5.06 juta dan telah beroperasi sepenuhnya mulai Jun 2009. Kini pihak MRCB telah berada di peringkat terakhir perancangan Penang Sentral di Butterworth dengan kos yang dianggarkan berjumlah RM589 juta, sebahagian daripada kos keseluruhan RM2 bilion, dan dijangka akan memulakan kerja setelah segala urusan yang berkaitan dengan kemajuan tersebut disempurnakan.
Dua Tapak Landasan Ujian Monorel Di Seberang Perai


33. Selaras dengan pertimbangan semula Kerajaan Persekutuan untuk menimbangkan semula keputusan penangguhan Projek Monorel yang bersifat people-centric supaya dapat dilaksanakan di bawah RMKe-10, Kerajaan Negeri telah menerima banyak pelawaan dan minat daripada pelabur swasta. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah menyediakan dua tapak untuk pelabur-pelabur membina landasan ujian monorel di Seberang Perai (Monorail Test Track). Kerajaan Negeri tidak akan menanggung sebarang kos pembinaan dan tanah di mana "test track" dibina masih akan dimiliki oleh Kerajaan Negeri. Selain daripada membolehkan Kerajaan Negeri menilai dan mengukur prestasi projek monorel yang dicadangkan, ia berpotensi menjadi satu tarikan pelancong.

Infrastruktur
34. Persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menambahkan kos Projek Empangan Mengkuang daripada RM506.64 juta kepada RM955 juta dan meneruskan dengan Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang amat dihargai oleh Kerajaan Negeri. Negeri Pulau Pinang akan berhadapan dengan krisis bekalan air yang serius sekiranya Projek Pembesaran Empangan Mengkuang ditangguhkan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengeluarkan surat niat pada bulan Jun 2009 kepada kontraktor projek iaitu China International Water and Electric Corporation (M) Sdn Bhd. Projek yang berharga RM955 juta dijangka bermula awal 2010 dan siap dalam tempoh masa 4 tahun. Pada masa kini projek ini di peringkat akhir pengambilan balik tanah di mana pembayaran tersebut sedang diuruskan melalui pinjaman yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan. Malah pelan reka bentuk empangan tersebut juga telah disiapkan serta telah diaudit oleh perunding kejuruteraan yang dilantik oleh kerajaan.

35. Kerajaan Negeri akan memohon Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk dilaksanakan semula dengan kos berjumlah RM1.75 bilion di bawah RMKe-10 selain daripada kerja-kerja pembesaran Lapangan Terbang bernilai RM250 juta. Kerja-kerja menaik taraf yang akan mengambil masa selama setahun dijangka bermula pada Januari 2010 dengan peruntukan disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.


36. Projek Pelebaran Jambatan Pulau Pinang yang dilaksanakan dengan kos sebanyak RM585.6 juta telahpun siap dan dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada 25 Ogos 2009. Ia telah banyak membantu meleraikan kesesakan trafik. Di samping itu, Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang yang berharga RM4.3 bilion dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) oleh Syarikat Jambatan Kedua Sdn. Bhd. Pada ketika ini, kerja-kerja penggerukkan laut (dredging) dan pembinaan jeti sementara telah dimulakan di Batu Kawan dan Batu Maung di bawah Pakej 1 oleh CHEC Construction (M) Sdn. Bhd., manakala pihak UEM Bhd telah memulakan kerja-kerja pembinaan lapangan pra-tuang untuk segmental box girder serta pembinaan kemudahan jeti sementara di Batu Kawan di bawah Pakej 2. Bagi Pakej 3, kerja-kerja merekabentuk sedang dijalankan oleh jurutera perunding sebelum memulakan proses tender. Projek secara keseluruhannya dijangka siap pada tahun 2013.


Projek Tebatan Banjir
37. Masalah banjir yang melanda penduduk setiap kali hujan turun sememangnya diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri. Bagi menangani masalah banjir secara jangka pendek, beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan. Di antaranya, menjalankan kerja-kerja pembersihan dan membuang sampah sarap dan tumbuhan-tumbuhan yang menghalang aliran air, melaksanakan projek menaik taraf saluran di Sungai Jelutong, di kawasan Kg. Dodol dan di Kg. Masjid, menaik taraf tebing di Sg. Pinang dan di kawasan Kg. Rawa serta pelebaran tebing di Dhoby Ghaut. Manakala untuk jangka masa panjang, permohonan peruntukan akan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan pembiayaan di bawah RMKe-10 bagi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir di semua sungai yang menghadapi masalah.

38. Utiliti yang baik dan cekap amatlah kritikal bagi mempertingkatkan daya saing negeri dan kualiti hidup. Fokus yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah menggalakkan penggunaan air dan tenaga secara mampan dengan meminimumkan impak ke atas alam sekitar. Penggunaan air di Pulau Pinang memperlihatkan satu trend yang meningkat. Misalnya, pada tahun 2006, penggunaan air adalah sebanyak 249,439 meter kubik dan telah meningkat kepada 272,426 meter kubik pada tahun 2008. Dengan kata lain, penggunaan air setiap pengguna secara purata sehari sebanyak 285 liter adalah yang paling tinggi di Malaysia berbanding 157 liter sehari seorang di Singapura dan 219 liter sehari seorang di Hong Kong. Ini jelas menunjukkan memang benar rakyat Pulau Pinang membazir air. Demi menjimatkan air, sekiranya penjimatan sekurang-kurangnya 10% tidak dapat dicapai sehingga Mac 2010, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengenakan kos guna air lebihan sebagai "denda" untuk mengurangkan penggunaan air. Langkah ini bukan sahaja menjimatkan air tetapi mesra alam sekitar kerana mengurangkan jejak kaki karbon (carbon footprints) sebagai sumbangan ke atas masalah perubahan cuaca.

39. Pada masa ini, permintaan bekalan elektrik Negeri Pulau Pinang telah mencapai paras maksimum sebanyak 1,305 MW. Untuk tempoh 5 tahun akan datang, diramalkan pertumbuhan kadar sederhana sebanyak 3.36% mungkin dicapai. Justeru, sebanyak RM139.2 juta telah dimohon oleh TNB Pulau Pinang untuk tahun 2010 bagi memastikan keperluan bekalan elektrik pengguna dipenuhi. Daripada jumlah ini, sebanyak RM38.5 juta (27.7%) adalah untuk projek bekalan baru manakala RM100.7 juta (72.3%) adalah untuk projek pengukuhan sistem. Usaha dijalankan untuk meminta TNB menambahkan PMU (pencawang masuk utama) dan PPU (pencawang pembahagi utama) dalam kawasan pesat membangun seperti di Tanjong Pinang, Taman Perindustrian Bukit Minyak dan Batu Kawan.


40. MPPP telah meluluskan cadangan menaiktaraf pasar-pasar di Air Itam, Batu Maung, Pulau Tikus, Jelutong dan Lebuh Cecil. Di samping itu kerja-kerja menaik taraf jalan bund dari Kampung Naran ke Jalan Sungai Keluang juga telah diluluskan. Usaha juga akan dijalankan untuk menggalakkan amalan hidup sihat dengan mulanya pembinaan laluan basikal (bicycle track) yang satu hari nanti akan meliputi dan menjajari sebahagian daripada pesisiran pantai kepulauan Pulau Pinang.


C. MEMPERKASAKAN SEKTOR PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

41. Walaupun kadar pertumbuhan sektor pertanian Pulau Pinang dijangka hanya 2.3% dalam tempoh 2007-2010, berbanding dengan kadar pertumbuhan nasional pada kadar 7.1%, namun sektor ini berpotensi dibangunkan bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara. Sehubungan itu, fokus utama Kerajaan Negeri dalam membangunkan sektor pertanian ialah dengan memajukan Lot 1441, Mukim 12, Juru, Daerah Seberang Perai Tengah dengan keluasan 284.62 ekar sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).


42. TKPM akan dibangunkan sebagai satu program perkongsian pintar di antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan juga petani di dalam pengeluaran, pemasaran dan pemprosesan hasil pertanian berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi dengan merangkumi pelbagai sektor pertanian termasuklah tanaman, ternakan dan akuakultur. Perbelanjaan yang telah dibuat untuk TKPM ini adalah sebanyak RM2.15 juta melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan dan infrastruktur. Selain dari TKPM di Juru, Pulau Pinang juga mempunyai sebuah lagi TKPM di Ara Kuda, Seberang Perai Utara yang dikendalikan oleh pihak PERDA dengan keluasan 197.68 ekar. Antara tanaman yang diusahakan di TKPM Ara Kuda ialah cili, jagung, nenas dan pisang.



43. Kerajaan Negeri akan meningkatkan lagi prestasi perusahaan kecil dan sederhana yang terlibat dalam industri pengeluaran dan pemprosesan makanan. Untuk itu, Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (SERI) telah dilantik untuk menjalankan kajian profil industri pemprosesan makanan berasaskan pertanian di Pulau Pinang bagi mendapatkan profil pengusaha, mengenalpasti masalah yang dihadapi dan mengenalpasti potensi industri ini pada masa hadapan. Selain daripada itu, Pusat Pertanian Relau akan dinaik taraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pertanian dan Pusat Pelancongan Pertanian. Bagi merealisasikan hasrat ini, satu Pelan Pembangunan Agro-Pelancongan di atas tapak Pusat Pertanian Relau sedang diteliti oleh SERI.

44. Program pembangunan sektor ternakan akan memberi tumpuan kepada pengeluaran komoditi utama seperti daging lembu/kerbau, kambing/bebiri, khinzir, ayam/itik dan telur ayam/itik. Sejumlah 8 ladang ternakan khinzir telahpun ditutup secara sukarela di Batu Maung buat pertama kali berlaku sejak 18 tahun lepas. Dengan kata lain, tidak ada lagi ternakan khinzir di Batu Maung. Program mempelbagaikan sumber ternakan turut digalakkan melalui galakan penternakan ayam piru serta langkah pro-aktif dalam penternakan burung walit yang telah dikelaskan sebagai industri penternakan bernilai tinggi. Nilai hasilan ternakan negeri pada tahun 2008 telah meningkat kepada RM774.84 juta (46.94%) berbanding dengan RM527.32 juta pada tahun 2007. Kadar ini dijangka akan terus meningkat kepada RM800 juta pada tahun 2010.


45. Bagi meningkatkan keberkesanan program pencegahan serta perawatan persekitaran, kaedah bioteknologi iaitu Effective Microorganism (EM) diperkenalkan di kawasan ladang ternakan yang berisiko tinggi. Di samping itu, untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan produk hasilan ternakan, Skim Pensijilan Amalan Kebersihan Veterinar Yang Baik untuk perusahaan industri makanan berasaskan haiwan berskala kecil dan sederhana dan Skim Akreditasi Ladang Ternakan sedang diperkemaskan. Ianya bakal menjadi pelengkap kepada Skim Pensijilan Amalan Pengurusan Yang Baik sedia ada dalam senarai Akreditasi Persijilan IAT Veterinar.

D. MENGEKALKAN KESEIMBANGAN EKOLOGI


46. Kualiti alam sekitar merupakan salah satu faktor penentu bagi kualiti hidup rakyat Pulau Pinang untuk menjadi pilihan habitat utama bagi mereka yang mahukan kehidupan lestari. Dalam memelihara kualiti alam sekitar, pelbagai usaha dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang meliputi 4 aspek utama iaitu pengurusan, pemantauan, penguatkuasaan dan peningkatan tahap kesedaran rakyat. Antara program yang telah dilaksanakan ialah "Hari Tanpa Beg Plastik" Kempen "Green State", "Penang Smoke Free" serta pelancaran EM Mud Ball di semua daerah di Negeri Pulau Pinang. Kempen penggunaan EM Mud Ball telah dilakukan oleh kedua-dua PBT dengan kerjasama NGO, Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga, pihak sekolah, institusi pendidikan dan sebagainya. Malah mereka telah diberikan tunjuk ajar untuk membuat mud ball dan kepentingan mud ball tersebut walaupun kosnya amat murah.


47. Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin bahawa masa hadapan yang mampan ialah masa depan yang HIJAU. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah membuat penelitian untuk melaksanakan agenda PENGHIJAUAN. Dalam usaha memenuhi permintaan orang ramai, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah memenuhi kehendak tersebut dengan mewujudkan Inisiatif Penghijauan. Pulau Pinang nampaknya merupakan negeri pertama di Malaysia yang mengadakan polisi negeri untuk menggalakkan dan menyokong inisiatif bangunan hijau (Green Building Index) atau ringkasnya GBI.


48. Sebagai tanda sokongan Kerajaaan Negeri Pulau Pinang terhadap GBI, Kerajaan Negeri kini sedang mengusahakan pelaksanaan kelulusan yang lebih pantas bagi projek-projek yang mendapat pengiktirafan GBI atau dikenali sebagai "Green Lane Fast Track Approval". Malah pemaju perumahan yang telah memenuhi GBI tahap emas akan dikecualikan daripada membayar kenaikan sumbangan bayaran pemajuan RM15 sekaki persegi sebaliknya kekal pada RM5 sekaki persegi dan pemaju perniagaan yang memenuhi GBI tahap emas pula akan dikecualikan daripada membayar kenaikan sumbangan bayaran pemajuan RM21 sekaki persegi sebaliknya kekal pada RM7 sekaki persegi. Kerajaan Negeri juga bercadang menggalakkan semua bangunan Kerajaan Negeri yang baru perlu mempunyai pengiktirafan GBI bermula tahun 2010. Saya telah dimaklumkan bahawa projek IJM The Light adalah projek pertama di Negeri Pulau Pinang yang memohon pengiktirafan GBI.


49. Di samping itu, Pulau Pinang juga akan menjadi tuan rumah bersama GBI dalam pertandingan Green Island Vision dan Konvensyen Antarabangsa Bangunan Hijau di Pulau Pinang. Pelaksanaan program ini adalah selari dengan usaha untuk menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia.


50. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah menubuhkan Majlis Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang (MASNPP) yang akan berfungsi sebagai one stop agency untuk merancang, menyelaras dan mencadangkan dasar-dasar berkaitan alam sekitar di Negeri Pulau Pinang. MASNPP akan beroperasi melalui penubuhan pasukan petugas yang diketuai oleh seorang pensyarah kejuruteraan USM, Professor Dato Dr. Eric Goh dan pakar-pakar jurutera dan pakar bebas cerun bukit yang akan memfokuskan kepada isu-isu berikut:



i. Hill and Hill Slope Development;
ii. Urban Environmental Management and Cleanliness;
iii. Water Pollution in Rivers and Coastal Waters;
iv. Land Reclaimation and Coastal Zone Management; and
v. Public Open Spaces, Tree Planting, Parks and Gardens, and Floods and Flood Mitigation.


Segala usaha akan diambil untuk memastikan semua projek yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas akan mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang menjaminkan keselamatan orang ramai. Kegagalan berbuat demikian akan dihukum termasuk perintah berhenti kerja.

51. Usaha terbaru Kerajaan Negeri ialah menganjurkan satu perbincangan meja bulat bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah eco-town. Usaha ini adalah ekoran dari pemilihan negeri ini oleh United Nations Environmental Programme (UNEP) untuk dijadikan sebagai model eco-town selepas Shenyang di China dan Bandung di Indonesia. Pemilihan ini juga adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai the First Green Manufacturing Hub di Malaysia, di mana teknologi hijau termasuk alternatif kepada plastik dan polystyrene yang direkacipta dan hak milik cetaknya berasal dari Pulau Pinang.

52. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga merupakan kerajaan pertama yang melarang penggunaan bekas polistirena (polystyrene) atau "keranda putih" di semua aktiviti Kerajaan Negeri. Selain itu, mengikut data yang diperolehi daripada 37 pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai yang menyertai program pengurangan penggunaan beg plastik, sejak bulan Julai, seluruh Negeri Pulau Pinang telah berjimat sebanyak 1 juta beg plastik dalam Kempen Hari Tanpa Beg Plastik setiap Hari Isnin. Demi memperluaskan inisiatif pengurangan penggunaan beg plastik, Pulau Pinang sekali lagi memimpin negara dengan menambahkan bilangan hari kepada 3 hari seminggu untuk hypermarket, supermarket dan kedai francais. Untuk kedai tunggal atau kecil, mereka akan hanya diwajibkan menyertai inisiatif Tanpa Beg Plastik sehari seminggu iaitu pada setiap hari Isnin. Sekiranya kewajipan 3 hari dan 1 hari seminggu masing-masing tidak dipatuhi, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil. Kewajipan mematuhi peraturan ini akan dimasukkkan sebagai syarat pembaharuan atau pengeluaran lesen mereka.



53. Negeri Pulau Pinang akan merupakan negeri pertama di Malaysia yang akan mengitar semula air dari loji rawatan kumbahan. Ke arah itu, perbincangan awal telahpun dimulakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan untuk melaksanakan satu projek pilot pada tahun 2010. Projek ini dianggarkan berharga RM1.5 juta dan peruntukan akan dimohon daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi membolehkan air dari Loji Rawatan Kumbahan Bayan Baru dikitar semula untuk kegunaan sektor industri di Bayan Baru. Langkah ini dengan jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani isu pencemaran alam sekitar bagi menjamin keseimbangan di antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar serta kesejahteraan hidup rakyatnya.



E. MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN DAN KUALITI HIDUP



54. Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama berjaya mencapai kemiskinan tegar sifar pada 30 Mac 2009 lalu. Seramai 728 Ketua Isi Rumah (KIR) telah diberi bantuan kewangan bagi memastikan mereka keluar dari kepompong miskin tegar. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama kesemua agensi kerajaan iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Urus Zakat serta Rakan Anti Kemiskinan (RAK) yang bersama-sama Kerajaan Negeri menggembeleng tenaga, sumbangan dan idea agar misi tersebut dicapai. Setakat ini, sebanyak 238 individu/syarikat/pertubuhan bukan kerajaan telah memberi sumbangan dana kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM2,152,100.00 sehingga Julai 2009. Bantuan kewangan berjumlah di antara RM185,000.00 hingga RM195,000.00 setiap bulan berasaskan kepada pengesahan Pejabat-pejabat Daerah telah dikeluarkan dan dinikmati oleh 651 KIR.



55. Menyedari bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh sepanjang hayat memberi bantuan kewangan kepada golongan miskin ini, maka sebagai kesinambungannya Kerajaan Negeri telah melancarkan Projek Titian Saksama Rakyat Negeri Pulau Pinang dengan sumbangan Kerajaan Negeri dan PDC berjumlah RM3 juta. Majlis menandatangani MoU projek ini di antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pihak Kerajaan Negeri dan Universiti Sains Malaysia sebagai agensi pelaksana telah diadakan pada 16 Ogos 2009 dan wang pinjaman telahpun diagihkan pada 1 Oktober 2009.



56. Projek Titian Saksama Rakyat Negeri Pulau Pinang atau PTSR merupakan projek yang dirancangkan di bawah Jawatankuasa MMK Pembangunan Keusahawanan Negeri Pulau Pinang. Objektif tabung pinjaman PTSR adalah untuk menambah pendapatan, wang simpanan dan menambahbaikan keperluan asas kumpulan sasaran serta membantu mereka mengumpul aset. Kumpulan sasaran ini terdiri daripada masyarakat fakir, khususnya pendapatan keluarga kurang RM500 sebulan, ibu tunggal, golongan yang cacat dan peniaga-peniaga kecil.



57. Pinjaman di bawah PTSR adalah tanpa sebarang faedah dengan jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM5,000. Tempoh bayaran balik maksima selama 2 tahun. Usaha Kerajaan Negeri ini adalah inisiatif bagi memastikan golongan keterbawahan di Pulau Pinang tidak diabaikan. Ini adalah diantara usaha untuk mewujudkan kerajaan berjiwa rakyat. Terdapat 6 aspek bagi memastikan golongan sasar mendapat manfaat semaksimum mungkin melalui Key Transformation Indicators atau KTI adalah seperti berikut:



i. Kelestarian sumber pendapatan dan peningkatan pendapatan isi rumah (Sustainable sources of household income and increase in household income);

ii. Penjanaan simpanan isi rumah. (Generation of household savings);
iii. Penambahan aset produktif isi rumah (Accumulation of productive household assets);

iv. Penyediaan peluang bekerja sendiri untuk anggota dewasa isi rumah (Creation of self-employment opportunities for adult household members)
v. Perlengkapan keperluan asas isi rumah seperti peningkatan kualiti amalan pemakanan, peningkatan keselesaan tempat tinggal, peningkatan akses kemudahan kesihatan, mempelbagaikan peluang pendidikan dan sebagainya (Fulfilment of basic needs of the household such as improvement in nutrition, better quality housing, access to better health facilities etc); dan
vi. Keupayaan melengkap keperluan agama seperti mengeluarkan zakat dan menunaikan haji misalnya (Fulfilment of religious obligation like contributing to zakat and performing pilgrimage).


58. Kerajaan tidak meminggirkan golongan warga emas sungguhpun ada yang sudah tidak produktif dalam masyarakat, sebaliknya mendapat pembelaan Kerajaan Negeri. Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Dasar Penghargaan Warga Emas diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua warga emas melebihi 60 tahun yang bermastautin di Pulau Pinang tanpa mengira etnik, agama dan fahaman politik.



59. Sumbangan wang tunai berjumlah RM100 seorang setahun kepada warga emas yang berdaftar dengan Pejabat ADUN Kawasan bagi tempoh 1 Mei 2009 hingga 8 Mac 2010. Penyampaian sumbangan ini akan dilaksanakan selepas 8 Mac 2010. Sekiranya berlaku kematian ke atas warga emas yang berdaftar tersebut, maka sumbangan berjumlah RM1,000 secara "one-off" sebagai penghargaan ke atas penjagaan ibu bapa yang uzur akan diberikan kepada waris warga emas berkenaan. Itulah objektif serampang dua mata Dasar Penghargaan Warga Emas - mengiktiraf sumbangan warga emas kepada pembangunan ekonomi negara dan juga menggalakkan masyarakat penyayang dengan menjaga ibu bapa dan tidak perlu menghabiskan masa mereka di luar pelukan ahli keluarga. Bagi membiayai pelaksanaan program ini, peruntukan berjumlah RM20 juta disediakan di bawah Bajet 2010. Pemberian sumbangan ini dijangka akan dinikmati oleh seramai 130,000 orang warga emas.



60. Untuk memastikan golongan miskin juga mendapat pembelaan dalam menikmati keselesaan dan kesejahteraan hidup, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM1.97 juta di bawah Program Khas Ekonomi pada tahun 2010 untuk pembaikan rumah rakyat miskin dan projek peningkatan ekonomi penduduk luar bandar.



61. Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 menjangkakan keperluan perumahan di negeri ini akan mencecah angka 185,000 buah menjelang tahun 2020. Ini bermakna secara purata sebanyak 12,300 buah rumah perlu disediakan setiap tahun. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju agar projek Perumahan Rakyat (PPR) disewa dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di atas tanah berkeluasan 4.2 hektar di Teluk Kumbar dengan kos berjumlah RM35 juta. Pelaksanaan projek ini akan memberi manfaat kepada 500 ketua isi rumah miskin dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah, setinggan dan penduduk yang tidak memiliki rumah di Daerah Barat Daya. Selain daripada itu, 3 buah tapak cadangan telah juga dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan pelaksanaan dalam RMKe-10 iaitu di Mukim 11, Daerah Seberang Perai Selatan, Mukim 13, Relau, Daerah Timur Laut dan di Bukit Tengah, Daerah Seberang Perai Tengah bagi tujuan pembinaan PPR .



62. Bagi memantapkan lagi sistem pengurusan dan pembangunan projek perumahan dan perumahan awam di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sedang merancang untuk penubuhan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang. Lembaga ini akan berfungsi untuk menasihati Pihak Berkuasa Negeri mengenai dasar, strategi dan program pembangunan dan pengurusan perumahan. Pada masa yang sama, Dasar Pengurusan Setinggan Negeri Pulau Pinang sedang digubal untuk membolehkan pengurusan dan penempatan setinggan dibuat secara lebih bersistematik seiring dengan konsep "Satu Keluarga Satu Rumah".



63. Taklimat kepada penduduk mengenai penubuhan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation) dan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) bagi projek-projek perumahan bertingkat termasuk yang diselenggarakan oleh Kerajaan Negeri merupakan satu usaha yang berterusan. Bagi perumahan Kerajaan Negeri, daripada 7 taklimat yang diadakan, 1 permohonan dalam proses kelulusan iaitu Rumah Pangsa Batu Lanchang manakala 3 buah projek perumahan bertingkat telahpun mendapat sijil penubuhan JMB daripada Pesuruhjaya Bangunan iaitu Rumah Pangsa Paya Terubong, Rumah Pangsa Taman Tun Dr Awang dan Rumah Pangsa Mak Mandin. Tindakan ini akan terus dipergiatkan pada tahun 2010 bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat melibatkan diri dalam menguruskan perumahan mereka sendiri dan lebih bertanggungjawab tanpa mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.



64. Manakala bagi perumahan persendirian, kedua-dua YDP MPPP dan MPSP selaku Pesuruhjaya Bangunan yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri telah juga memainkan peranan bagi penubuhan Perbadanan Pengurusan dan Badan Pengurusan Bersama. Badan yang dilantik akan dipertanggungjawabkan untuk mengurus rumah bertingkat berkenaan termasuk penyelenggaraan dan pengurusan kawasan bersama. Memandangkan pelaksanaan ini masih diperingkat awal maka terdapat isu-isu yang perlu ditangani dan ini sentiasa diuruskan secara berterusan oleh kedua-dua Pesuruhjaya Bangunan berkenaan.



65. Kerajaan Negeri sentiasa proaktif mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju, pihak bank atau pihak berkepentingan dan penduduk dalam mencari jalan penyelesaian ke atas projek-projek terbengkalai walaupun tanggungjawab tersebut adalah di bawah Kerajaan Persekutuan. Sepanjang tahun ini, 2 buah projek telah berjaya dipulihkan mengikut fasa dan telah memperolehi Sijil Layak Menduduki (O.C) iaitu Projek Taman Pekatra, Daerah Seberang Perai Selatan yang melibatkan pembinaan 54 unit rumah teres sederhana 2 tingkat dan Projek Taman Malwira, Daerah Seberang Perai Tengah melibatkan 71 unit rumah teres 1 tingkat (Jenis A), 3 unit rumah teres 1 tingkat (Jenis B) dan 3 unit rumah teres 2 tingkat. Manakala 4 buah projek yang sedang dipulihkan ialah Projek Taman Suria, Taman Teluk Air Tawar, Taman Fettes Villa (The Peak) dan Taman Cemerlang.



DASAR MENAIKTARAF RUMAH AWAM KERAJAAN



66. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Dasar Menaiktaraf Rumah Awam agar menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk yang kebanyakan terdiri daripada orang bawah. Terdapat 42 projek rumah pangsa kerajaan yang melibatkan 13,773 unit yang berada dalam keadaan usang kerana telah diabaikan dan dibiarkan selama 20 tahun ini. Sikap tidak peduli pentadbiran lepas telah berubah selepas peralihan kuasa kepada kerajaan berjiwa rakyat PR. PR telah memperuntukkan hampir RM11 juta sebagai permulaan untuk memperbaiki kemudahan seperti kerosakan lif, kebocoran paip air dan pendawaian semula elektrik demi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk. Jumlah RM11 juta ini tidak mencukupi dan keutamaan akan diberikan kepada rumah pangsa yang paling lama. Dasar ini perlukan masa sekurang-kurangnya 5 tahun untuk melengkapkan kerja bagi memberikan suasana hidup yang teratur yang harus dinikmati semua termasuk orang bawah.



F. PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN



67. Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa MMK Pembangunan Belia dan Sukan sentiasa berusaha merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri dalam konteks pembangunan belia dan sukan yang komprehensif dan holistik. Dalam memastikan kelangsungan pembangunan belia dan sukan di negeri ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai dasar yang menjadi tonggak kepada program dan aktiviti Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan seperti berikut:



i. Mengambil pendekatan yang "mesra belia" untuk menggalakkan golongan belia supaya berani tampil ke hadapan dan membentuk perkongsian pintar (smart partnership) dengan Kerajaan Negeri bagi menyumbang idea dan pengetahuan;



ii. Menggalakkan pembangunan insan yang menyeluruh bukan sekadar dari segi akademik tetapi juga menerapkan unsur-unsur kebudayaan, kesenian dan sukan

iii. Menggalakkan semangat muhibbah dan perpaduan antara kaum; dan

iv. Penyaluran sumber negeri kepada projek yang secara langsung membawa faedah kepada masyarakat terutamanya golongan belia tanpa pembaziran mengikut prinsip CAT.
Peruntukan untuk bidang dan program belia telah dinaikkan daripada RM312,000 pada Bajet 2009 kepada RM632,000 pada Bajet 2010.



68. Dalam bidang sukan, Y. Bhg. Dato' Nicol Anne David adalah ratu permata sukan skuasy negara dan merupakan rakyat Pulau Pinang. Sebagai usaha berterusan untuk memajukan sukan serta mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang sukan, pada tahun ini Sukan Pulau Pinang atau lebih dikenali dengan SUKPEN akan diadakan. SUKPEN diperingkat daerah dan negeri melibatkan atlet dari 5 daerah dan satu kontingen peringkat negeri melibatkan seramai 2,719 atlet untuk 34 acara sukan dan 565 pegawai yang akan diadakan dari 1 hingga 7 Disember 2009 di semua venue di Negeri Pulau Pinang. Temasya sukan dwi tahunan ini diadakan juga dengan tujuan untuk menyediakan atlet Negeri Pulau Pinang yang akan mewakili negeri dalam sukan SUKMA Melaka ke XIII yang akan diadakan di Melaka Bandar Bersejarah mulai 10 Jun hingga 19 Jun 2010. Kontinjen Pulau Pinang seramai 450 atlet dengan 150 orang pegawai akan mewakili negeri dan peruntukan sejumlah RM1 juta telah disediakan bagi tujuan ini. Terdapat 36 acara dijangka dipertandingkan dan Pulau Pinang akan menyertai kesemua acara yang dipertandingkan.



69. Keseluruhannya peruntukan untuk sukan telah dinaikkan daripada RM3.3 juta pada tahun 2009 kepada RM4.6 juta untuk Bajet 2010.



70. Di samping itu pada 18 hingga 23 Oktober 2009 yang lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Persatuan Angkat Berat Amatur Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan kejohanan Angkat Berat Komanwel Pulau Pinang di PISA. Dalam kejohanan selama 6 hari ini, sejumlah 24 buah negara Komanwel telah mengambil bahagian dan merupakan penyertaan pertama yang terbesar bagi acara ini dengan melibatkan seramai 305 atlet dan 200 pegawai serta 300 tetamu undangan dari negara Komanwel. Kejayaan kejohanan tersebut bukan sahaja membuktikan bahawa Pulau Pinang mampu menguruskan satu kejohanan yang bertaraf antarabangsa tetapi yang lebih penting ialah kepercayaan yang diberikan untuk menjadi hos kejohanan tersebut. Kejayaan tersebut juga telah meyakinkan Persatuan Angkat Berat Dunia untuk memilih Pulau Pinang sekali lagi pada tahun 2010 untuk menjadi hos bagi kejohanan World Cup Weight Lifting Championship.



71. Untuk menggalakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan perlantikan 3 jurulatih untuk setiap daerah. Ini bermakna ada 15 jurulatih tambahan akan digaji untuk membangunkan sukan di Pulau Mutiara ini.



G. PENDIDIKAN DAN AGAMA



72. Meskipun pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri telah dan akan terus membantu menyediakan pendidikan yang berkualiti. Seperti mana pada tahun 2009, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM11.3 juta untuk Program Bantuan Pendidikan yang akan dimanfaatkan oleh 172 buah sekolah, meliputi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India dan Sekolah Mubaligh. Bagi pelajar yang menghadapi kesukaran dalam pembelajaran, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa MMK Pendidikan akan terus memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti Majlis Perundingan Pendidikan Pulau Pinang (PECC) dan Biro Mengenai Kesukaran Pembelajaran (BOLD) di samping menjalin kerjasama yang lebih erat antara BOLD, Jabatan Pelajaran dan Institusi Pendidikan dengan keluarga.



73. Selaras dengan Islam sebagai agama rasmi, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program pembangunan agama Islam yang seimbang dari aspek kerohanian dan fizikal. Dari aspek kerohanian, pelaksanaan prinsip CAT dengan mengambil iktibar kepimpinan Khalifah Umar bin Abdul Aziz iaitu dalam melahirkan masyarakat yang jujur, bertanggungjawab, telus, berintegriti dan tidak tamak. Manakala dari aspek fizikal, pembinaan masjid, surau, sekolah agama dan maahad tahfiz tetap diteruskan.



74. Walaupun Kerajaan telah membina banyak masjid dan surau untuk kemudahan umat Islam beribadat tetapi aktiviti pengimarahan tidak diketepikan. Pada bulan Ramadan yang lalu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan tambahan peruntukan sebanyak RM213,000 kepada kesemua 200 masjid untuk menjalankan aktiviti Ehya Ramadan, dan sumbangan ini akan juga disediakan pada tahun 2010 bagi memastikan kelangsungan aktiviti pengimarahan masjid khasnya pada bulan Ramadan. Bagi membolehkan masjid diimarahkan dengan sempurna, kebersihan dan keselesaan untuk beribadat akan terus diberikan keutamaan dan digiatkan dengan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan masjid-masjid dan surau-surau termasuk membaik pulih dan meningkatkan kemudahan tandas pada tahun 2010. Pengiktirafan pencapaian para huffaz diteruskan dengan perbelanjaan RM75,000 dalam bentuk sumbangan wang dan sijil.



75. Selain masjid dan surau, sebagai usaha memantapkan lagi pelaksanaan dan pengurusan undang-undang syariah, Kerajaan Negeri juga tidak mengenepikan keperluan bangunan-bangunan Mahkamah Syariah yang baru. Mahkamah Syariah Daerah Seberang Perai Utara telah siap dibina dan digunakan sepenuhnya pada tahun 2009 dan bagi tahun 2010 sebuah Mahkamah Syariah baru akan dibina di Kawasan Kompleks Pentadbiran Daerah Seberang Perai Tengah, Sungai Rambai, Bukit Mertajam. Kini kerja-kerja tanah bagi tapak tersebut telah disiapkan dan anggaran kos pembinaan Mahkamah ini adalah berjumlah RM6 juta dan sejumlah RM3 juta diperuntukkan bagi tahun 2010 dan selebihnya pada tahun berikut. Manakala kerja-kerja pembinaan Mahkamah Syariah Daerah Barat Daya yang telah diberhentikan akibat kelemahan kontraktor telah ditawar semula kepada kontraktor baru pada November 2009 dengan harga RM4.8 juta dan dijangka siap pada Oktober tahun 2010 kelak.



76. Pada Belanjawan Pakatan Rakyat (PR) pertama, sebanyak RM20.5 juta diperuntukkan berbanding dengan Belanjawan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM12.5 juta. Bajet 2010 akan ditambah lagi kepada RM22.3 juta dengan pembangunan RM7.2 juta, mengurus RM13.4 juta dan sebagainya RM1.7 juta.



H. PEMBANGUNAN WANITA DAN KESAMAAN GENDER



77. Kepentingan wanita dalam pembangunan negeri sememangnya tidak dapat dinafikan dan bagi meningkatkan serta menyemarakkan peranan wanita di Negeri Pulau Pinang, beberapa program dan projek yang menjurus kepada pencapaian dasar utama pembangunan wanita, keluarga dan komuniti telah dilaksanakan. Dasar-dasar tersebut ialah:



i. Membela nasib wanita terutamanya ibu tunggal dan meningkatkan taraf ekonomi wanita supaya setanding dengan wanita negara maju;
ii. Menggalakkan dan menyokong kaum wanita untuk terus berkerjaya serta mencapai kecermerlangan dalam profesion masing-masing;
iii. Mewujudkan komuniti yang bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dalam memupuk semangat muhibah antara kaum;
iv. Mempertahankan kesaksamaan gender; dan
v. Menambah bilangan wanita sehingga mencapai matlamat 30% penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam agensi kerajaan dan swasta.



78. Berdasarkan peruntukan yang diluluskan pada tahun 2009, MMK Pembangunan Wanita telah berjaya melaksanakan hampir kebanyakan program kesedaran yang telah dirancang. Kerajaan Negeri mensasarkan untuk mewujudkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak bagi mengurangkan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah terutamanya golongan ibu tunggal. Usaha-usaha akan terus dibuat dengan memberi penekanan kepada penambahbaikan institusi dan bekerjasama dengan pertubuhan dan badan bukan kerajaan untuk memenuhi matlamat dasar-dasar yang telah ditetapkan. Selain daripada itu, persekitaran yang kondusif akan disediakan bagi memastikan golongan wanita mempunyai kemahiran dan pengetahuan serta menjadikan mereka lebih berdaya saing di dalam arus pembangunan negara. Dalam konteks ini, perkara-perkara utama yang akan diberi penekanan termasuklah:



i. Memperkasakan keupayaan wanita untuk berdikari, bersaing dan berdaya maju dalam semua bidang yang diceburi;
ii. Mempertingkatkan tahap kesedaran masyarakat dan membendung secara menyeluruh kes-kes keganasan rumahtangga dan wanita;
iii. Meneruskan usaha mempertahankan kesaksamaan gender bagi golongan wanita; dan
iv. Mengurangkan kadar kemiskinan dikalangan wanita terutamanya ibu tunggal dan ketua isi rumah wanita.



79. Penubuhan Jawatankuasa Kesaksamaan Gender membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan hak-hak wanita terpelihara. Jawatankuasa ini turut berperanan di dalam membincang dan mencadangkan polisi dan perancangan dalam menentukan hala tuju perjuangan kesaksamaan gender di Negeri Pulau Pinang. Sehingga kini, pelbagai program telah dilaksanakan seperti Bengkel Kesaksamaan Gender dan Bengkel Perancangan Strategik Kesaksamaan Gender. Bengkel Kesaksamaan Gender telah dianjurkan di dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, merupakan usaha untuk memastikan kumpulan sasar daripada semua kaum etnik mempunyai akses kepada maklumat tersebut.



80. Jumlah peruntukan ditetapkan sebanyak RM800,000 pada Bajet 2010.



I. PERHUBUNGAN MASYARAKAT



81. Jawatankuasa MMK Perhubungan Masyarakat merupakan wadah kepada perancangan strategik Kerajaan Negeri dalam merencanakan dan memastikan kehidupan rakyat yang harmonis. Jawatankuasa ini turut menyediakan medium untuk perbincangan bagi penyelesaian isu-isu berkaitan dengan hubungan dan perpaduan kaum selaras dengan Dasar Perpaduan Negara serta penghayatan Rukun Negara di peringkat negeri. Dengan wujudnya Majlis Perhubungan Masyarakat Negeri telah memainkan peranan yang penting untuk menyalurkan maklumat dengan lebih teratur dan berkesan.



82. Dasar utama Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Perhubungan Masyarakat ialah untuk memperkasakan jalinan di peringkat akar umbi. Justeru itu, perancangan mengenai aktiviti dan program perlulah ke arah impak yang berkesan kepada kumpulan ini. Antara usaha awal yang telah dilaksanakan ialah penganjuran Bengkel Pemantapan JKKK bagi setiap daerah di Pulau Pinang. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Anugerah JKKK Terbaik Peringkat Negeri sebagai langkah untuk memotivasikan JKKK untuk berkhidmat dengan lebih tekun dan bersemangat demi pembangunan negeri.



J. BERTINDAK SEBAGAI PEMUDAHCARA



83. Kerajaan Negeri sedar bahawa selaras dengan proses globalisasi ekonomi, peranan anggota perkhidmatan awam adalah penting sebagai pemangkin dan rakan sektor swasta. Sistem Star Rating (SSR) akan dilaksanakan di semua bahagian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan mengukur tahap prestasi kecemerlangan Agensi-agensi Kerajaan ke arah peningkatan Sistem Penyampaian Perkhidmatan. Kerajaan Negeri akan memastikan anggota perkhidmatan awamnya mempunyai multi skills dan berfikiran sejagat dengan mengamalkan prinsip CAT serta memiliki 3i iaitu integrity, intelligence dan international dalam melaksanakan tugasan mereka. Untuk itu, Program Pembangunan Sumber Manusia merupakan salah satu elemen yang dapat meningkatkan lagi kecekapan anggota perkhidmatan awam di Negeri Pulau Pinang.

DEMO-DEMO BN


DEMO DI PULAU PINANG

demo kampung buah pala

Demo depan DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
Bakar Gambar Ketua Menteri Pulau Pinang

Ketua Pemuda UMNO,AJK MIC,AJK MCA DAN GERAKAN



BANTAHAN DI KOMTAR


BANTAHAN DASAR EKONOMI PULAU PINANG OLEH UMNO



DEMO DI HADAPAN KOMTAR

DEMO DI SELANGOR


PEMUDA UMNO SELANGOR



PEMUDA UMNO PIJAK LEMBU TANDA MASYARAKAT INDIA

SESI PENERANGAN OLEH PEMUDA UMNO


PERBINCANGAN PEMUDA UMNO CANTIK X KEPALA LEMBU TU


BERATNYA KEPALA LEMBU NI


JOM BAWA KEPALA LEMBU NI CEPAT-CEPAT


APASAL KEPALA LEMBU JE NI..BAGI LE LEMBU SEKALI BOLEH SEMBELIH BUAT KENDURI


DEMO DI PERAK


DEMO JANGAN HINA ISLAM..AYAT POWER!
DEMOA KELANTAN



DEMO MINTA NIK AZIZ LETAK JAWATAN



DEMOA BANTAH DOA NIK AZIZ

Monday, November 30, 2009

PenCariaN TeaM bOla JaRiNg

SaLam,




Hai KaWan SeTElAH bErAKhirnYa PerTandinGan BoLa JarinG aNjuRan UniT eHsan PulAU pInaNG, kINi Unit Ehsan Pulau PiNang SedanG mENCari bEbERApa PemaiN bOla jARing uNTUK dI sERAPKAN kEdALAM tEam Unit Ehsan aTau Pun YAng IngiN mENUBUhKAN tEAM2 tERSEndiri...



CuMA dISini KamI INgin MemaklumKan TeaM uNIT eHSAN aKan MengADAKAN lATIhAN bOLA jARING 2 kALI sETIAP bUlAN dI Pulau Pinang



Lokasi Yang Di Pilih AdalaH

pADANG bOLA jARING BUKIT dUMBAR jELUTONG pULAU pINANG DaN pADANG bOLA jarinG tAMan BeliA pULAU pINANG



kEPADA yANG BerMinat Boleh Hantar Nama DAN no Tel anda kepada Eifa

sETIAP kALI lATIHAN kAMi AkAN meMaklumkan Kepada anDA..



EmAIL : eifatanjong@yahoo.com or prvt msg eifa...
No Tel : 017-4206246

Sunday, November 29, 2009

JOM PI PESTA PULAU PINANG



TAPAK PESTA SUNGAI NIBONG PULAU PINANG...
MUSIM CUTI SEKOLAH TELAH BERMULA..
JOM PI PESTA PULAU PINANG

Tuesday, November 24, 2009

SMART GLOBAL

SELAMAT DATANG KE SMART  GLOBAL INTERNATIONAL SDN BHD
PENGENALAN

Smart Global International Sdn Bhd direka menggabungkan ciri-ciri lama dan yang terkini serta terpantas.Dengan kemajuan sistem internet dan telefon(SMS),Smart Global mengorak langkah merealisasikan perniagaan e-commerce sepenuhnya.Smart Gtlobal berkeyakinan tinggi utk memasuki alaf baru sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju dan berwawasan.



“PERJALANAN BERIBU BATU TETAP BERMULA DENGAN LANGKAH PERTAMA…MARILAH BERMULA LANGKAH PERTAMA ANDA BERSAMA SMART GLOBAL.



SALAM KEJAYAAN UNTUK SEMUA.
 


MUDAH DI DUPLIKASI…

E-Commerce : Internet  http://www.smartg2u.com/

KEMUDAHAN KAD KREDIT DARI GLOBAL BANK OF COMMERCE LTD.

UNTUK KETERANGAN LANJUT SILA HUBUNGI EIFA DI TALIAN 0174206246


Perbandingan Permohonan

BANK-BANK MALAYSIA
Payslip
Dokumen sokongan pekerjaan
Track record-(ctos, blacklist, bancruptcy)
Guarantor
Collectoral (Cagaran)

OFFSHORE GLOBAL BANK
18 Tahun keatas
Ctos √ LAYAK..!
Blacklist √ LAYAK..!
Bancruptcy √ LAYAK..!
Semua individu
(kecuali tak waras)

EASY AGENT -PAKEJ 250
Produk- PRIVILLEGE KAD SAHAJA

Kelebihan menikmati pakej penjimatan keluarga dan faedah seperti percutian, Spa,

Pelancongan, golf dan berbagai kemudahan yang menyeronokkan.



SILVER AGENT -PAKEJ 750

Produk PRIVILLEGE KAD + PELAN PELINDUNGAN KEMALANGAN DIRI

Kelebihan menikmati pakej penjimatan keluarga dan faedah seperti percutian, Spa,

Pelancongan, golf dan berbagai kemudahan yang menyeronokkan

PELAN PERLINDUNGAN KEMALANGAN DIRI

Kemalangan Diri / Cacat Kekal - RM15,000

Khairat Kematian - RM 1,000

Tuntutan Perubatan - RM 1,000



BAGAIMANA PERMOHONAN KAD KREDIT ANDA DI PROSES
Mohon kad kredit ke Smart Global
Hantar Dokumen pada Backup management Badan profesional
proses permohonan Backup management Australia co.
Hantar ke Global Bank Of Commerce
Global Melantik Maybank Collection payment
Global Bank Of Commerce hantar pada Visa Co. Usa
Visa Co. USA hantar kad ke Smart Global
Smart Global hantar Kad pada anda

Monday, November 23, 2009

BOLA JARING PIALA UNIT EHSAN



Kejohanan bola jaring Pertubuhan Unit Ehsan Malaysia telah diadakan pada 22 hb Nov 2009 dari jam 9am - 5pm. kejohanan ini telah disertai oleh 10 pasukan dari seluruh negeri Pulau Pinang. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Law Choo Kiang (Exco Klerajaan Negeri Pulau Pinang) dan Pn Noorhayati Jaafar (Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang)Juara bagi pertandingan ini ialah Pasukan KSK (Kami Tak Kisah).